Thursday, August 3, 2017

Combi mommy

Ya, aku dah ada anak. Dilahirkan dengan mudah pada 9hb Disember yang lepas. Aku kira itu antara rezeki dan rahmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.  Nikmat apa yang patut aku dustakan lagi. 

Aku ni sejenis yang gemarkan buat rekod tarikh untuk kitaran haid aku. Jadi, apabila haid aku lewat iaitu kira-kira selepas 2 bulan kami berkahwin, aku dapat merasakan yang ada 'sesuatu' tapi aku taknak berharap. Namun, perasaan kuat untuk buat ujian kehamilan dengan menggunakan kit ujian kehamilan yang dibeli di farmasi Guardian.

Mengikut kit kehamilan, ujian harus dilakukan ketika di pagi hari sebaik saja bangun dari tidur. Dengan penuh berdebar-debar, aku buat ujian dan selepas beberapa minit, ternyata keputusannya positif. Alhamdulillah. Terus aku kongsikan berita tu melalui whatsapp kepada si dia.

Dua tiga hari sebelum aku lakukan ujian kehamilan tu, aku tak berapa sihat. Demam dan batuk. Betapa tak laratnya aku tika itu. Lebih-lebih lagi, penat berkemas pindah rumah baru masih belum hilang lagi. Masa tu, aku cuma fikirkan demam sebab penat berpindah. Rupanya dah ada sesuatu. =)

Selepas mengetahui berita kehamilan, bermulanya rutin bulanan pemeriksaan di Klinik Kesihatan Kelana Jaya. Dua bulan terakhir, rutin bertukar dari bulanan ke dua minggu sekali seterusnya pemeriksaan mingguan. Sepanjang kehamilan juga, boleh dikatakan rezeki aku untuk melalui kehamilan dengan mudah. Tak banyak ragam. Jarang-jarang punyai rasa mengidamkan makanan. Kalau ada pun,syukur kerana makanan tu yang senang didapatkan. Cucur jagung, nasi mamak di kampung, satay.

Semasa hamil, ramai yang teka bayi yang bakal aku lahirkan tika itu, adalah bayi lelaki. Tekaan itu semua berdasarkan fizikal badan aku. Dalam ramai yang meneka bayi lelaki, cuma kawan aku yang seorang meneka bayi perempuan. Hehe. Dia meneka perempuan, sebabnya dia kata aku terasa nak bercantik yang baginya itu bukan perkara biasa. Hanya kawan baik yang memahami perangai sebenar aku.

Sepanjang kehamilan juga, aku rajin berjalan. Berjalan tau bukan melancong. Setiap hari, aku akan berjalan dari tempat kerja balik ke rumah yang dalam kira-kira 2km. Kadang-kadang juga, naik turun tangga dari tingkat 7 di flat di samping berjalan dalam shopping mall. Mungkin salah satu sebab badan aku nampak 'fit' dan asbab senang melahirkan combi.

EDD combi pada 18hb Disember. Namun aku dah mula ambil cuti bersalin sejak 3hb Disember. Masa tu, dah mula rasa tak larat nak berjalan jauh. Nak tunggu si dia abis kerja untuk balik bersama pun dh tak larat. Jadi buat keputusan nak rehat awal disamping nak kemaskan rumah sikit-sikit. Tapi dalam tak larat, masih mampu ke One Utama sorang-sorang dengan ambil Grabcar untuk jumpa Rere dengan Fitri yang datang dari Indonesia tu.

8hb Disember, pagi.
Si dia masuk kerja shif tengahari hari itu. Hati terasa nak menyekat dari si dia pergi kerja. Nak minta teman aku di rumah. Aku tak cakap tapi berkias-kias. Namun, aku sediakan kuew tiow goreng untuk makan tengahari kami berdua. Aku cakap ngan si dia, kalau aku bosan, aku datang tempat kerja dia untuk makan bersama dan balik dengan Grabcar lepas makan. Si dia pun cakap OK.

Si dia selalu ambil rehat dalam jam4.30 -5petang. Dalam jam4, elok aku nak bersiap, aku nampak 'blood clot' dekat panties. Misi pernah pesan, kalau nampak darah, terus ke hospital. Aku telefon si dia beritahu hal tu. Terus si dia balas yang dia akan balik kejap lagi. Aku dah berdebar-debar. Bukan sebab fikir nak bersalin tapi berdebar-debar kalau 'false alarm'. Kalau-kalau ke hospital, kena marah sebab itu cuma titisan darah je. 

Tak sampai setengah jam, si dia dah sampai rumah dengan berpeluh-peluh. Kesian pulak aku tengok suami aku ni. Sebelum tu, aku dah hubungi bonda dan juga rakan sekerja untuk minta hantarkan ke hospital. Oh ya, kami tak ada sebarang pengangkutan kami sendiri, memang bergantung dekat bonda, kawan atau Grabcar. Dalam jam 5lebih, rakan sekerja aku Eyka dan Rafizan hantarkan kami ke Hospital Sg Buloh.

Selama hampir 2jam dalam unit bersalin, doktor melaporkan tiada sebarang kontraksi lagi namun bukaan sudah 2cm. Doktor cadangkan untuk pulang dulu ke rumah dan sambung buat pemeriksaan di klinik seperti biasa. Pada malam itu, hasil scan menunjukkan berat baby 2.9kg. Uri semua terletak elok. 

Balik dari hospital, aku terus cakap dengan si dia dan bonda, yang aku nak makan sotong paprik. Bukan teringin sangat tapi fikirkan tempoh pantang yang lama nanti. Baik makan siap-siap. Dan malam tu aku minta tidur di rumah bonda dan minta esok pagi baru nak pulang ke rumah sendiri. 

Dalam jam1 pagi, perut mula rasa tak selesa. Rupanya kontraksi dah pun bermula cuma masa tu belum ketara lagi. Jarak kontraksi makin rapat dan akhirnya agak-agak dalam jam 4.30 pagi, aku kejutkan si dia dan bonda, untuk pergi ke hospital. Sempat lagi kena marah dengan bonda, sebab tak kejutkan awal. =)

Dimasukkan ke dalam unit bersalin jam 5.30 pagi, dan dikhabarkan bukaan sudah 6cm. Tepat jam 7  pagi, nurse pecahkan air ketuban dan 7 minit kemudian selepas meneran sambil diteman oleh si dia, combi menggelongsor keluar. Alhamdulillah, syukur. Sihat dan sempurna fizikalnya. 

Pada masa yang sama, bermulalah episod menjadi ibu bapa baru.