Saturday, August 3, 2019

Selisih Faham Dengan Mertuaku

Baru-baru ni, kerap kali aku punya selisih faham bersama ibu mertuaku.

Raya haritu, isu berbangkit tentang, raya dimana, giliran keluarga mana. Hmm. Kampung aku di Perak. Suami takda kampung tapi ibunya tinggal 10km dari rumah kami. Tahun pertama perkahwinan, kami beraya di sebelah keluarga aku. Namun pada hari raya pertama itu sendiri, dah bertolak balik ke KL, untuk beraya dengan ibu suamiku pada hari raya kedua dan ketiga. Ya, ibu dan ayahnya telah berpisah sejak mereka kecil lagi. Lagipun ini tahun pertama dia beraya bersama suami baru.

Tahun kedua, hari raya pertama kami tak beraya di mana-mana, ada di rumah sebabnya suamiku nak beraya dengan ayahnya tapi ayahnya kena kerja pula. Hari raya kedua dan ketiga, beraya bersama ibu suamiku lagi.

Tahun seterusnya, kami berdua kerja semasa raya. Tak raya di mana-mana, namun seminggu kemudian, kami balik ke kampung ku, tapi pada masa yang sama meraikan sepupu suami ku kahwin yang berdekatan dengan kampung ku. Walaupun pulang selama 4 hari, 2 hari dah pun diluangkan bersama keluarga suamiku. Tahun ni, giliran ibunya beraya dengan suaminya.

Tahun ini, hanya kerana tahun lepas kami tidak 'beraya' bersama ibunya, ibunya seolah geram kerana kami pilih untuk beraya di kampung aku lagi. Dan juga sebab tahun ni, giliran ibunya beraya dengan adik-beradiknya namun adik beradiknya hanya dapat berkumpul selepas hari raya ketiga.

Dua tiga hari lepas, ada selisih faham antara birasku dengan ibu mertuaku. Namun tidak semena-mena, aku dilibatkan sekali dan kami berdua (biras dan aku) digugurkan dari group whatsapp keluarga. Aku okay, terlebih okay sebab aku pun tak rajin nak melayan sembang-sembang kosong dalam group. Keesokannya, ibu mertuaku meminta maaf melalui whatsapp. Aku cuba membalas dengan berhemah namun disalahertikan dan akhirnya melarat sehingga melibatkan suamiku.

Aku dah kenal ibu suamiku sejak 7 tahun lepas. Boleh dikatakan aku dah kenal perangai ibu suamiku itu dan ada perangainya yang aku tidak berapa berkenan. Namun aku diam tapi lama-lama, perasaan geram tu jadi berbukit dan mula ingin meletus. Banyak perkara yang aku pendamkan, banyak perkara yang buatkan aku makan hati tapi mengenangkan dia adalah ibu kepada suamiku, aku cuba hormat.

Tapi aku percaya, dia tidak pernah hormat kepada diri aku ini, tidak menganggap aku sebagai menantu, sebagai isteri anaknya mahupun sebagai ibu kepada cucunya. Kerana sepanjang kami berkahwin, aku tidak pernah diraikan dengan sepatutnya.

Untuk permulaan, dia tidak mengadakan sebarang majlis untuk perkahwinan kami. Setiap kali aku diperkenalkan kepada ahli keluarganya ataupun kawan-kawannya, seolah-olah aku ni dikahwinkan secara senyap dan terpaksa terima. Pada awal perkahwinan, kami tinggal di rumahnya. Tapi kami suami isteri kena tidur berkongsi di atas katil bujang. Selepas kami pindah, apabila kami balik tidur di rumah ibunya, kami berdua tidur di atas lantai berlapikkan tikar getah, di bilik stor yang berdebu dan panas. Padahal masa tu aku dah pun mengandung 5bulan. Ibu dan suaminya tidur di dalam bilik, atas katil, dengan ekon. Abangnya pun tido di atas katil berpasangkan ekon. Sedih, sedih sangat. Berkali-kali tidur di rumah ibunya pun, macam tu jugak. Selepas aku bersalin, aku tak pernah tidur di rumah ibunya lagi dah. Serik dan trauma.

Banyak lagi perkara-perkara yang berlaku termasuklah aku dituduh mempunyai hubungan dengan lelaki lain tapi aku cuma harapkan suami aku akan terus percaya dan akan bersama aku.

Selepas beberapa tahun berkahwin pun, aku pasti ibu mertuaku tak pernah tahu apa kesukaan ku. Aku cuma berprasangka baik dengan Tuhan. Aku cuma anggap semua yang berlaku ini, adalah balasan kepada perbuatan ku yang jahat pada masa lalu dan mudahan ini semua hikmahnya dan rahmatnya.

Masih jauh perjalanan kami suami isteri, nak membesarkan cahaya mata kami yang seorang tu. Sungguh banyak halangan dan pancaroba. Mudahan salah sorang dari kami tidak berputus asa dan sentiasa menyokong satu sama lain. Mudahan usaha yang pahit ini akan memberikan hasil yang manis di kemudian hari.

Ameen YRA.